Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Anugerah ICT Brunei Dilancarkan

landingpage-banner-1
 
Skip Navigation LinksHome > News > Latest News > Anugerah ICT Brunei Dilancarkan
Anugerah ICT Brunei Dilancarkan
29/02/2016

​​BICTA 2016 launching.jpg

Isnin, 29 Februari 2016 – Majlis Pelancaran bagi Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2016 telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan.

 
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat, Menteri Perhubungan. Ketibaan Yang Berhormat Menteri Perhubungan pada majlis berkenaan dialu-alukan oleh Yang Mulia Awang Haji Azhar bin Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu BICTA 2016. Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah Bahagian Kementerian Perhubungan, Ketua-Ketua Jabatan-jabatan dibawahnya, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta perwakilan dari institusi pendidikan dan syarikat-syarikat ICT tempatan.

 
Anugerah ICT Brunei (BICTA) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Perhubungan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Persekutuan Infocom Brunei (IFB). Pertandingan ini bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT di kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan. Acara BICTA 2016 tahun ini memaparkan Anugerah Penaung Diraja atau Royal
Patron Award yang diadakan setiap dua tahun sekali. Trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan kepada pemenang keseluruhan terbaik dalam kalangan semua kategori pada Majlis Anugerah BICTA nanti. Dengan bertemakan “Generasi Digital Berwawasan”, BICTA pada kali ini dibukakan kepada tiga (3) kategori, iaitu:

 
1. Projek Sekolah (School Project) - yang dibukakan kepada individu atau kumpulan projek ICT yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah;

 
2. Projek Pengajian Tinggi (Tertiary Project) - yang dibukakan kepada individu atau kumpulan projek ICT yang terdiri dari penuntut-penuntut institut
pengajian tinggi; dan

 
3. Industri ICT (ICT Industry) - yang dibukakan kepada individu, kumpulan atau pengusaha ICT yang berdaftar dalam negara ini.

 

Di samping itu, empat (4) Anugerah Khas juga turut ditawarkan, iaitu Usahawan Harapan (Promising Entreprenueur), Pemaju Muda (Young Developer), ICT Hijau (Green ICT) dan Teknologi Baru (Emerging Technology). 

 
Diperkenalkan pada tahun 2004, BICTA merupakan landasan bagi individu, pelajar dan syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing di dalam arena ICT dan seterusnya mewakili Negara Brunei Darussalam di pertandingan Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA). BICTA adalah komponen APICTA, iaitu persekutuan organisasi ICT bagi rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada 16 ekonomi. APICTA bertujuan untuk membina dan meningkatkan rangkaian kerjasama di dalam mempromosikan ICT, inovasi, keupayaan dan penggunaan ICT serta menggalakkan pembangunan penyelesaian ICT untuk pasaran global. 

 
Pemenang-pemenang BICTA bagi tahun ini akan mempunyai peluang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam di pertandingan APICTA yang bakal diadakan pada bulan Disember 2016 di Taiwan. Ekonomi-ekonomi lain yang turut serta dalam APICTA ialah Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Thailand. 

 
Sejurus selepas majlis pelancaran, Yang Berhormat Menteri Perhubungan dijemput untuk menyaksikan pameran mini produk dan aplikasi ICT yang pernah memenangi BICTA pada tahun lalu.​