Press Release
Malam Anugerah Brunei Content Festival 2022
Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah menganjurkan Malam Anugerah Brunei Content Festival 2022 yang julung-julung kalinya diadakan bersempena dengan acara Minggu Teknologi Digital, Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) 2022. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Tetamu-Tetamu Khas iaitu Yang Berhormat, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat, Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ir. Haji Muhammad Nazri bin Hj Muhammad Yusuf, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Dyg Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif, AITI.
Juga hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; wakil-wakil dari institusi pengajian tinggi dan industri penyiaran tempatan dan para peserta pertandingan Brunei Content Festival 2022 yang terdiri daripada syarikat penerbitan video tempatan, freelancers serta karyawan content creators. Majlis berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d'Seni, Bandar Seri Begawan.
Anugerah Brunei Content Festival 2022 adalah merupakan satu platfom pertandingan untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan, penerbit, pengarah, pembuat filem dan penggiat-penggiat seni kandungan tempatan dalam sektor penyiaran sebagai usaha AITI untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam mencipta kandungan. Ianya juga adalah bagi menggalakkan perkembangan dan pembuatan kandungan yang berkualiti tinggi serta berpotensi untuk diedarkan secara komersil dan disiarkan di platfom televisyen atau perkhidmatan Over-the-Top (OTT).
Pertandingan Brunei Content Festival 2022 bagi tahun ini dibukakan kepada dua (2) kategori, iaitu Kategori Industri dan Kategori Terbuka. Kategori Terbuka mengetengahkan empat (4) anugerah iaitu Best Social Media Content, Best Short Film, Short Music Video dan Best Short Film Under Institute of Higher Learning, manakala Kategori Industri mempertandingkan empat (4) anugerah iaitu Best Drama, Best Comedy, Best Horror dan Best Performance Advertisement.
Di samping itu, terdapat juga tujuh (7) Anugerah Juri yang ditandingkan. Sebanyak tujuh puluh dua (72) penyertaan telah diterima dan proses penghakiman telah pun dijalankan oleh panel hakim yang berpengalaman dan terdiri daripada wakil-wakil daripada industri penyiaran dan institusi pengajian tinggi.
Pemenang-pemenang bagi Pertandingan Brunei Content Festival 2022 adalah seperti berikut:
Bagi Kategori Industri:
- Pemenang Iklan Terbaik: Mr Brown Brazil Coffee- Evoke Craftsman
- Pemenang Komedi Terbaik: Operation Hantu – Filterworks Productions
- Pemenang Drama Terbaik: Kitani – New Wave Films
- Pemenang Seram Terbaik: ‘I’ Love you – AMT Production
Bagi Kategori Terbuka:
- Pemenang Video Musik Terbaik: Khilaf - Faizul Razali
- Pemenang Filem Pendek Terbaik : Jaguh - Md Aa’qiil Ahmad
- Pemenang Filem Pendek Terbaik Institut Penggajian Tinggi: Not Toaster- Rahim Sofri
- Pemenang Identiti Brunei Terbaik: Aku Bersyukur- Hanidi Hj Mahmud
Bagi Anugerah Juri:
- Editing Terbaik: Not Famous- Drifting- Adam Groves
- Konsep Terbaik: Saya Sepasang Kasut- Afiq Julaihi
- Pencahayaan Terbaik: Nada Papa- Hasrul Aizan
- Pengarahan Terbaik: The Poet- Envoy Films
- Pengumuman Perkhidmatan Awam / Media Sosial Terbaik: Recycling Can Save lives- Greendepot
- Sinematografi Terbaik: Menyendiri - Arifuddin Zainal
- Persembahan Terbaik: Kawan- Dk Aida Pg Safri
Pemenang bagi setiap Kategori Industri dan Terbuka menerima wang tunai sebanyak $2,000.00 manakala pemenang bagi Anugerah Juri pula menerima wang tunai sebanyak $500.00 beserta sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Acara Brunei Content Festival 2022 dikelolakan dengan sokongan daripada RTBGo dan Progresif Media.
AITI berharap dengan adanya platfom yang sediakan oleh Brunei Content Festival ini akan menggalakkan para pencipta kandungan di negara ini untuk menghasilkan lebih banyak kandungan yang berkualiti tinggi yang dapat bersaing di pentas antarabangsa untuk menembusi pasaran di peringkat serantau dan global.